Kejadian “MISTERI” di tadika menyebabkan kanak-kanak ini lebam dan bengkak pada telinga kanannya

Seorang ibu meluahkan perasaannya menerusi laman Facebook, “Saya sangat terdesak untuk mendapatkan nasihat jadi saya memilih platform ini. Apa yang perlu saya buat?”. Kenyataan itu dibuat oleh ibu berkenaan setelah anak perempuannya berusia 3 tahun pulang ke rumah daripada sekolah tadika dengan bengkak dan lebam pada telinga kanannya.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada 14 Februari lalu dan sehingga kini keadaan telinga anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan membuatkan ibu itu membuat kenyataan begitu di laman Facebook pada 10 Mac lalu.

Claudia Kwan/Facebook

“Semenjak insiden berkenaan, anak saya akan terjaga daripada tidur dan mimpi ngerinya dan menangis sambil berkata, “Saya takut. Saya minta maaf. Tolong berhenti. Sakit!”

“Dia juga ada menyebut nama gurunya”, tulis ibu tersebut. Situasi itu berlarutan pada setiap malam untuk beberapa minggu dan keadaannya meruntun hati saya kerana dia berada dalam keadaan trauma.

Anaknya juga telah berubah secara drastik sehingga kadang-kadang mudah marah dan menangis tanpa sebab yang jelas, luah ibu itu pada kenyataannya yang dikongsi sebanyak 1,600 kali.

Menurut ibu itu, Claudia Kwan, pada 14 Februari lalu, suaminya menjemput anaknya pulang daripada sekolah tadika dan dia perasan akan lebam pada telinga dan berasa ada sesuatu yang tidak kena.

Rambutnya pula menutup sebahagian daripada telinganya dan anaknya pula berpeluh-peluh. Namun, lebam itu masih dapat dilihat. “Setelah sampai rumah, suami saya meminta saya memeriksa telinga anak kami dan saya terkejut melihat telinganya lebam dan bengkak dengan teruk”.

“Hati saya sedih, pilu dan marah apabila saya bertanya pada anak saya apa yang terjadi, dia tidak menjawab dan menangis,” tulis Claudia. Ibu itu juga ada berkongsi gambar telinga anaknya yang lebam dan membengkak, di mana telinga kanak-kanak itu bertukar warna menjadi ungu dengan keadaan kulit yang menggelupas.

Ibu itu kemudian menghubungi pihak sekolah tadika dan bertanya megenainya, tetapi hampa kerana tiada seorang pun guru yang dapat menjelaskan keadaan tersebut. Sungguh misteri. Claudia mengambil keputusan untuk membawa anaknya berjumpa doktor pakar padiatrik.

Claudia Kwan/Facebook

“Ringkasnya, pakar yang mendiagnosis telinga anak saya juga terkejut. Ia merupakan salah satu bentuk lebam traumatik yang disebabkan oleh daya yang kuat dan disengajakan, bukan disebabkan oleh gigitan serangga ataupun alergi ubat,” jelas Claudia menerusi kenyataannya dan dia turut memberitahu guru besar sekolah tadika anaknya tentang hasil diagnosis tersebut dan turut membuat laporan polis. Hal berkenaan membuatkan guru kelas anaknya terperanjat.

Claudia juga ada membawa anaknya ke KKH (Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Singapura) untuk didiagnosis sekali lagi dan hasilnya menunjukkan lebam berkenaan diklasifikasikan sebagai kecederaan yang disengajakan dan ia disyaki dilakukan oleh seorang guru.

Menerusi kenyataan Facebooknya, Claudia berkata bahawa dia ada berjumpa dengan guru tadika anaknya bagi mendapatkan penjelasan. Namun, balasannya hanya pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak sekolah.

Claudia Kwan/Facebook

“Tujuan saya kongsikan kisah saya ini adalah bagi mendapatkan pandangan dan nasihat tentang apa yang perlu saya lakukan untuk menyelesaikan perkara ini…Saya telah berjumpa dengan pakar pskiatri dan kaunselor untuk anak saya. Kata mereka, anak saya sememangnya trauma. Sebagai seorang ibu, melihat anak saya menderita begini umpama menyiat-nyiat hati saya dan ia meninggalkan kesan emosi dan fizikal kepada saya”.

“Saya sangat tertekan dengan ketidakcekapan pihak polis dan kecewa dengan pihak sekolah yang mengambil pendekatan sambil lewa dan tidak bertanggungjawab dalam kes ini. Malah, pihak sekolah juga masih membenarkan guru terbabit meneruskan tugas sambil merisikokan keselamatan kanak-kanak di sana,” tulis ibu itu.

Beliau turut melaporkan kes berkenaan pada Agensi Perkembangan Awal Kanak-Kanak (ECDA) Singapura.

Claudia Kwan/Facebook

“Pihak ECDA memberi komen berkata memandangkan kes berkenaan telah menjadi kes polis, mereka hanya mampu mengenal pasti tindakan susulan sejurus siasatan polis selesai. Pihak polis juga menegaskan bahawa mereka tidak boleh mendedahkan rakaman CCTV kepada saya. Mereka juga tidak meyakinkan saya bahawa siasatan ini dijalankan dengan baik, malah membiarkan saya tertanya-tanya akan perkembangan kes ini,” kata Claudia.

Claudia Kwan/Facebook

Menurut The Straits Times, pihak polis telah mengesahkan laporan kes berkenaan yang dibuat pada 14 Februari lalu dan berkata bahawa pihaknya masih lagi sedang dalam siasatan dan pegawai bertugas akan memaklumkan perkembangan kes kepada Puan Claudia.

Sementara itu, ibu mangsa berkata anaknya yang trauma kini telah berhenti bersekolah di tadika berkenaan. Ibu tersebut turut menulis :

“Di rumah, ketika saya sedang membacakan buku cerita Three Little Pigs kepada anak saya, dia akan berkata bahawa gurunya itu tidak ubah seperti watak ‘serigala yang jahat’. Jika buku Snow White dibacakan, guru itu seperti ‘ratu jahat’ dan jika dia bermain patung, patung itu akan melindungi anak saya daripada guru. Bahkan, jika terdengar bunyi bising ekoran daripada pengubahsuaian pada rumah jiran, dia akan berkata itu seperti bunyi gurunya datang dan menarik telinganya sehingga dia menangis!”

Sumber: Claudia Kwan/Facebook

Kredit : Era Baru

Facebook Comments

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*